Perlawanan berlangsung seperti yang saya sudah jangkakan – Miroslav Kuljanac

47

Ketua jurulatih pasukan KL City FC, Miroslav Kuljanac memberitahu bahawa beliau sudah dapat menjangkakan perlawanan derbi Lembah Klang menentang Selangor FC yang menyaksikan mereka berjaya menang 1-0.

“Sejujurnya perlawanan berlangsung seperti mana yang saya sudah jangkakan kerana saya sudah buat analisis terhadap mereka (Selangor) termasuk menonton kesemua perlawanan mereka.

Seperti yang saya katakan dua tiga hari lepas mereka ada pemain yang mempunyai kualiti individu tapi mereka juga ada kelemahan dan pada malam ini kami gunakan.

Saya sangat tenang dalam membuat persiapan untuk perlawanan ini kerana tiada tekanan sebaliknya tekanan kepada pasukan lawan,”

katanya.

Tambahnya lagi, kebimbangan beliau menjelang aksi derbi hanya kearah beberapa pemainnya yang mengalami kecederaan termasuk Brendan Gan.


Dalam pada itu, Miroslav Kuljanac turut mengulas lanjut mengenai keputusannya untuk menggunakan tiga pemain gantian sahaja biarpun mempunyai pilihan untuk membuat penggantian lima pemain.

Ini kerana menurut pengendali The City Boys itu, beliau tidak menurunkan pemain muda kerana ia akan menjadi perlawanan yang sukar buat mereka.

“Saya tidak mempunyai pilihan di bangku simpanan yang mana saya hanya guna tiga pemain gantian juga kerana ini merupakan perlawanan sukar buat pemain muda. Saya tahu kerana saya pernah menjadi pemain sebelum ini.

Ada yang meminta saya masukkan pemain muda tapi bukan mudah untuk letakkan pemain muda dalam perlawanan seperti ini.”

Sementara itu, Miroslav Kuljanac juga berkata masalah gaji yang dihadapi oleh pasukannya ketika ini tidak langsung jejas atau mengganggu pemain kerana setiap pemain memberikan aksi terbaik mereka sepanjang perlawanan.