Inilah masanya untuk mereka (atlet) ukir sejarah untuk diri sendiri – Mohd Nazifuddin

24

Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd Nazifuddin berharap atlet negara yang akan bertanding di temasya Sukan Olimpik Paris 2024 untuk gunakan peluang yang ada untuk cuba cipta sejarah mereka sendiri nanti.

“Saya harap mereka dapat fokus dan berikan yang terbaik dalam acara yang mereka bertanding kerana inilah peluang yang dinanti-nantikan.

Daripada 26 atlet, 15 atlet beraksi buat pertama kali di Olimpik jadi inilah masanya untuk mereka ukir sejarah untuk diri mereka sendiri dalam karier elit mereka,”

katanya.

Nazifuddin juga berharap tempoh kurang dua minggu ini kesemua atlet dapat membuat persiapan rapi termasuk menjaga kesihatan supaya tidak mengalami sebarang kecederaan.


Dalam pada itu, Nazifuddin turut mengesahkan bahawa tiada penambahan akreditasi untuk kontinjen Malaysia.

“Kontinjen masih kekal 26 atlet antara sembilan sukan, pegawai rasmi pula lebih kurang 40 yang dalam perkampungan Olimpik dan di luar jadi setakat ini tiada tambahan.”

Sementara itu, beliau turut berharap sukan badminton dan berbasikal dapat menyumbang pingat emas pertama negara di Olimpik nanti.

“Ya memang kita tahu sasaran kita satu pingat emas dan semua sedia maklum kita fokus antara badminton dan berbasikal jadi antara dua itu memang kita mengharapkan berita baik.”

Terdahulu, Nazifuddin hadir pada majlis Pelancaran Kolaborasi antara Pestle & Mortar dan Majlis Olimpik Malaysia.