SRG telah letak satu ‘benchmark’ cukup tinggi! Pasukan lain perlu segera ‘step up’ – Abang Lord

65

Koordinator Komunikasi pasukan e-sukan Mobile Legends Bang Bang (MLBB) Todak, Danial Aizat Rames Abdullah berkata pasukan-pasukan yang beraksi di Mobile Legends: Bang Bang Profesional League Malaysia (MPL MY) perlu segera tingkatkan kualiti permainan mereka untuk musim ke-14.

Ini kerana menurut Danial Aizat atau lebih dikenali sebagai Abang Lord berkata pasukan Selangor Red Giants (SRG) telah meletakkan satu penanda aras yang cukup tinggi selepas mereka berjaya menjulang kejuaraan dunia MSC Esports World Cup 2024 yang berlangsung di Riyadh, Arab Saudi baru-baru ini.


“Ini memberi satu tamparan hebat buat semua pasukan yang akan bersaing di MPL MY musim ke-14 kerana SRG telah meletakkan satu ‘benchmark’ yang sangat tinggi.

Mereka kini merupakan juara dunia dan bukannya juara MPL MY, jadi kini kita perlu bertemu dengan juara dunia dalam liga kita jadi kalau pasukan-pasukan tidak buat perubahan drastik, saya percaya pasukan lain hanya akan menjadi kedua terbaik sahaja.

Oleh itu setiap pasukan perlu ‘step up’ dan buat perubahan dan perbaiki segala kelemahan dengan segera,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Jelas Abang Lord lagi, sekiranya pasukan-pasukan lain gagal tingkatkan kualiti mereka pastinya SRG akan mendominasi untuk beberapa musim akan datang.

Dalam pada itu, Abang Lord turut berkongsi mengenai kehadiran jurulatih baharu iaitu Coach Ashi ke dalam pasukan Todak yang dikatakan mampu mengembalikan zaman kegemilangan pasukan itu.

“Coach Ashi adalah seorang jurulatih yang berpengalaman dan sudah lama dan mengenali pemain-pemain Todak dan beliau ada strategi macam mana nak kembalikan zaman kegemilangan Todak.

Beliau ada ramuannya dan pihak pengurusan juga memberi kepercayaan penuh kepadanya dan beliau tahu tanggungjawab apa yang perlu beliau buat Todak kembali ke ‘prime’.”