FAM & MFL patut main peranan bantu kelab bermasalah, bukan beri nasihat bayar gaji jika tidak tindakan akan diambil – Khalid Samad

91

Mantan Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abd Samad berharap agar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL) dapat memainkan peranan mereka dalam membantu kelab-kelab yang berdepan masalah kewangan.

Menurut Khalid, sebagai badan induk bola sepak negara dan pengelola liga mereka sepatutnya tampil untuk berbincang bagi mendapatkan jalan penyelesaian dan bukannya sekadar memberi nasihat untuk kelab bayar gaji jika tidak mahu dikenakan tindakan.


“Saya juga ingin memohon kepada FAM dan MFL untuk memainkan peranan dan memikirkan cara bagaimana nak membantu kelab yang mempunyai masalah kewangan kerana masalah ini bukan hanya pada KL City FC sahaja tapi hampir semua pasukan kecuali JDT dan Selangor FC sahaja, yang lain semua menghadapi masalah kewangan.

Jadi kita mengharapkan bahawa mereka berperanan apabila kita menghadapi masalah untuk mereka berbincang bersama untuk cari penyelesaian dan bukan beri nasihat bayar gaji, kalau tak bayar gaji kita ambil tindakan. Itu bukan cara menyelesaikan masalah,”

katanya.

Dalam pada itu, Khalid turut meluahkan rasa kecewanya apabila sumbangan dana RM5 juta tidak diagihkan kepada kelab-kelab yang menyumbang pemain kepada pasukan kebangsaan Harimau Malaya.

“Saya juga agak kecewa apabila sebelum ini PMX ada beri RM5 juta kepada FAM atas prestasi pasukan kebangsaan seri dengan Korea Selatan di Piala Asia 2023, jadi kita mengharapkan bahawa kita ini sebagai yang membekal pemain-pemain untuk pasukan kebangsaan, kalau di KL City kita ada enam pemain yang kita tanggung.

Tapi bila dapat duit RM5juta bagi FAM kita mengharapkan kita dapat sikit tapi langsung tak dapat walaupun satu sen.”

Sementara itu, Khalid juga berkata sudah tiba masanya kedua-dua FAM dan MFL perlu dirombak supaya lebih telus dan industri bola sepak tanah air diutamakan.