Parti AMANAH akan buat kelab penyokong & beri tiket percuma – Khalid Samad

21

Mantan Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abd Samad memberitahu beliau akan membuat satu inisiatif untuk membawa lebih ramai penyokong turun ke Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur untuk beri sokongan pada KL City FC.

Menurut Khalid, beliau yang merupakan Pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan dan Pengarah Komunikasi AMANAH akan menubuhkan kelab penyokong di setiap kawasan serta memberi tiket percuma kepada orang ramai.


“Bagi parti AMANAH Wilayah Persekutuan kita telah membuat keputusan bahawa Pemuda akan membentuk kelab penyokong di setiap kawasan untuk pasukan KL City dan bagi setiap perlawanan di dalam semua kawasan kita akan minta sumbangan daripada MP-MP untuk mendapatkan tiket-tiket daripada KLFA dan KL City untuk meramaikan penyokong di stadium.

Ia merupakan satu pendekatan untuk bekerjasama dengan golongan muda yang minat bola sepak. Sekarang ini memang tidak ada, jadi AMANAH akan mulakan dan kita harapkan PKR, DAP, UMNO dan lain-lain turut buat perkara sama supaya kehadiran penyokong KL City adalah satu jumlah yang munasabah,”

katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata demikian selepas melihat betapa sedikitnya penyokong The City Boys pada perlawanan derbi Lembah Klang di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur baru-baru ini yang menyaksikan lebih 70 peratus penyokong yang hadir adalah penyokong Selangor FC.

“Penyokong KL sudah berpuluh tahun tidak mencapai satu pencapaian yang membanggakan maka ia berkurang jadi kita nak bina semula dan cara nak bina balik itu kita akan manfaatkan parti politik dan persatuan-persatuan belia.”

Sementara itu, beliau juga menggesa agar Ahli Parlimen memainkan peranan dengan membiayai sebahagian kos tiket yang mana ia bukan sahaja dapat membantu kelab KL City sendiri tetapi juga merapatkan hubungan antara Ahli Parlimen dan golongan muda di negeri itu.