MakDi enggan komen khabar angin bakal kembali ke MPL MY musim ke-14

25

Pemain profesional e-sukan Mobile Legends Bang Bang (MLBB), Mohammad Hamdi Abu Bakar memberitahu beliau tidak dapat memberi sebarang komen atau mengulas lanjut mengenai khabar angin yang mengatakan beliau akan kembali beraksi di Mobile Legends: Bang Bang Profesional League Malaysia (MPL MY) musim ke-14.

Mohammad Hamdi atau lebih dikenali sebagai Makdi berkata memang Soloz akan mempunyai pasukan baru untuk bersaing di MPL MY tapi beliau tidak dapat dedahkan lanjut mengenai butiran itu.


“Apa yang diperkatakan itu saya tak boleh nak salah salah atau cakap betul tapi seperti semua sedia maklum Soloz memang akan bawa satu pasukan untuk musim yang akan datang.

Untuk siapa yang akan kendalikan pasukan, pemain yang terlibat belum tiba masanya lagi untuk didedahkan tapi lambat laun nanti semua akan tahu juga,”

katanya.

MakDi berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Dark System Series X Kopi Saigon bersama Soloz dan XK Penjahat.

Dalam pada itu, MakDi turut gembira dengan kejayaan pasukan Selangor Red Giants (SRG) yang berjaya menjadi juara MSC Esports World Cup 2024 yang berlangsung di Riyadh, Arab Saudi baru-baru ini.

“Apa yang SRG bawa untuk tonjolkan benda yang kita sendiri tak jangka kerana SRG sebelum ini sering dikecam tapi mereka berjaya terbalikkan keadaan itu dan jadikan perkara itu sebagai semangat untuk mereka buktikan dan Alhamdulillah mereka berjaya.”