Dengan kertas kita boleh cungkil bakat dalam ‘sport aviation’ – Hannah Yeoh

44

Menteri Belia Dan Sukan, YB Hannah Yeoh memberitahu dengan adanya sukan udara (sport aviation) dapat menarik minat murid-murid di sekolah untuk terlibat sama kerana dengan kertas sahaja boleh cungkil bakat dalam sukan itu.

“Kebolehcapaian sukan ini sangat menarik kerana dengan kertas sahaja kita boleh cungkil bakat kanak-kanak dan dengan adanya ‘sport aviation’ ini saya percaya minat kanak-kanak terhadap mata pelajaran sains akan meningkat di sekolah,”

katanya.

Hannah berkata demikian ketika menghadiri majlis Pelancaran Sports Aviation Management System (SAMS).


Menurut Hannah, seperti semua sedia maklum bahawa sukan penerbangan adalah sukan yang diwartakan dalam akta sukan yang dipanggil sebagai sukan udara.

Oleh kerana itu, beliau mahu Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membentuk kerjasama dengan Persekutuan Udara Malaysia (MSAF) bagi mengenal pasti aspek-aspek yang boleh dibangunkan dalam kursus Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

“KBS mahu wujudkan kerjasama dengan persatuan ini untuk lihat bagaimana kami boleh bangunkan kursus-kursus TVET kerana kita mahu TVET berada di bawah KBS lebih kepada industri sukan.”

Dalam pada itu, Hannah berkata berikutan sukan penerbangan diwartakan dalam akta pembangunan sukan, maka mereka yang membeli peralatan seperti dron akan mendapat pengurangan cukai.

“Menariknya selepas mereka diwartakan segala peralatan yang mereka guna itu akan dapat pengurangan cukai yang kita telah umumkan sehingga RM1,000.”