Kita harap Sabah mampu mara ke peringkat kumpulan AWCL – Arziz Afizy

68

Pengurus pasukan bola sepak wanita Sabah FA, Mohd Arziz Afizy Rumsani meletak sasaran untuk pasukannya mara ke peringkat kumpulan dalam saingan AFC Women’s Champions League (AWCL) yang akan membuka tirainya pada Ogos depan.

“Kita pun tidak tahu lagi kekuatan yang bersaing dalam kumpulan ini dan apa yang saya lihat pasukan PSF Nasaf bukan satu pasukan yang tidak kuat sebaliknya mereka adalah pasukan yang baik dan disamping itu kita juga akan berdepan kelab dari Nepal.

Jadi apa yang kita harapkan dalam kumpulan ini adalah kita boleh bersaing dan saya berharap kita dapat meletakkan harapan untuk cuba layak ke pusingan seterusnya,”

katanya.

Arziz berkata demikian selepas tamat majlis undian pusingan kelayakan AWCL yang berlangsung di ibu pejabat AFC di Kuala Lumpur, semalam.


Pada undian itu menyaksikan Sabah diundi dalam Kumpulan C bersama wakil Uzbekistan, PSF Nasaf dan kelab Nepal, APF FC.

Dalam pada itu, Arziz juga memberitahu mereka akan membawa masuk beberapa pemain tempatan baru dan import bagi memperkuatkan pasukan untuk pusingan kelayakan AWCL, namun tidak dapat dedahkan lagi butiran lanjut mengenai pemain yang bakal dibawa masuk.

“Kita masih di peringkat perbincangan jadi saya tidak dapat dedahkan nama-nama pemain itu lagi. InsyaAllah mungkin minggu hadapan kita dapat umum sekiranya semuanya berjalan dengan lancar.

Untuk pemain import kini kita sudah melihat beberapa pemain dan harap mereka dapat menyertai pasukan.”

Sabah turut dipilih sebagai tuan rumah untuk perlawanan pusingan yang akan berlangsung dari 25 hingga 31 Ogos di Kota Kinabalu.