Kita akan cuba buat yang terbaik tapi persiapan belum mencukupi – Justin Ganai

54

Ketua jurulatih pasukan bola sepak wanita Sabah FA, Justin Ganai mengakui persiapan pasukannya masih belum mencukupi bagi menghadapi pusingan kelayakan AFC Women’s Champions League (AWCL) yang akan berlangsung pada Ogos depan.

Menurut Justin, dengan saingan Liga Wanita Nasional (LWN) baru sahaja bermula beliau bagaimanapun berkata pasukannya akan tetap berikan yang terbaik.


“Sudah tentu tidak cukup sebab liga kita baru bermula tahun lalu dan kebetulan kita berjaya menjadi juara jadi ini adalah peluang kita untuk mewakili Malaysia.

Ia satu penghormatan dan satu peluang buat pemain untuk buktikan kemampuan tapi sudah tentu persiapan memang belum cukup lagi,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Pada undian yang berlangsung semalam di ibu pejabat AFC, Sabah telah diundi dalam Kumpulan C bersama wakil Uzbekistan, PSF Nasaf dan kelab Nepal, APF FC.

Dalam pada itu, bagi memastikan Sabah dapat beri saingan mereka akan membawa masuk beberapa pemain import untuk memperkuatkan lagi pasukan.

“Kita merancang untuk mendapatkan beberapa pemain import untuk tambah kekuatan pasukan tapi masih belum putuskan lagi.

Ada juga beberapa pemain dari Semenanjung yang akan diambil untuk bantu pasukan.”

Sementara itu, Justin tidak meletak harapan tinggi dalam saingan AWCL kerana mereka adalah pendatang baru tetapi mahu pasukannya beri persembahan terbaik dalam setiap perlawanan yang dihadapi mereka.

Sekiranya mereka berjaya menjadi juara kumpulan, Sabah akan mara ke peringkat kumpulan AWCL.