Masih banyak perkara perlu dilakukan untuk aksi kedua Piala FA nanti – Manuel Ott

23

Tonggak utama Terengganu FC (TFC), Manuel Ott gembira dengan kemenangan 3-2 ke atas Selangor FC pada perlawanan separuh akhir pertama Piala FA 2024 yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) baru-baru ini.

Menurut Ott, walaupun gembira dengan kemenangan itu tetapi pasukannya masih perlu perbaiki permainan mereka menjelang aksi kedua di tempat lawan pada awal bulan depan.


“Ia satu permulaan yang baik tapi untuk aksi kedua ia adalah tugas yang sukar kerana masih banyak kerja yang perlu dilakukan tapi hari ini memang keputusan yang baik buat kami.

Selepas ini kami akan fokus pada perlawanan seterusnya,”

katanya.

Pada perlawanan tersebut, TFC telah mempamerkan aksi garang pada separuh masa pertama apabila menjaringkan dua jaringan, namun pada separuh masa kedua SFC buat kebangkitan untuk menyamakan kedudukan.

Sang Penyu bagaimanapun berjaya mendapatkan gol kemenangan menerusi penyerang import mereka Ismahil Akinade.

Dalam pada itu, Ott juga berkata beliau tiada masalah untuk bermain di mana-mana posisi yang diarahkan oleh ketua jurulatih kerana beliau sanggup buat apa sahaja demi bantu pasukan.

“Apa sahaja yang pasukan perlu saya buat, saya akan buat dan diakui memang saya bermain agak tinggi tetapi apa pun saya sentiasa akan buat yang terbaik untuk bantu pasukan.”

Sementara itu, TFC akan turun beraksi pada separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan bekalan satu gol.