Terengganu FC dalam hati saya – Jordan Mintah
Pemain import Terengganu FC (TFC) dan Terengganu FC II (TFC II), Jordan Mintah mahu terus kekal bersama skuad Penyu untuk musim ini walaupun mendapat tawaran dari beberapa pasukan lain sebelum ini.
Menurut Jordan, walaupun beliau sudah menandatangani kontrak lanjut bersama Terengganu, masih ada pasukan yang masih menagih khidmatnya.
“Memang saya dapat banyak tawaran daripada pasukan lain. Walaupun kotrak saya disambung, saya tetap mendapat tawaran lagi.
Bagaimanapun semuanya saya tolak kerana ‘Terengganu dalam hati’,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Tambah Jordan lagi, apa yang membuatkan beliau jatuh ‘cinta’ dengan Terengganu adalah kerana keharmonian dalam pasukan, rakan sepasukan yang baik serta pengurusan yang cukup profesional.
Pemain penyerang ini mula mendapat perhatian ramai apabila beliau mempamerkan aksi yang cukup memukau peminat apabila menjaringkan 21 gol bersama TFC II dan empat gol bersama TFC.
Jordan meletak sasaran buat dirinya untuk bekerja dengan lebih keras pada musim ini bagi mengatasi pencapaian yang dikecapinya pada musim lalu.
Dalam pada itu, ditanya samada beliau akan bermain untuk TFC atau TFC II pada musim ini, Jordan tidak mahu fikir soal pasukan mana yang akan beliau main.
“Saya tidak pernah fikir nak main untuk skuad utama atau skuad kedua. Saya boleh bermain di mana-mana sahaja. Tapi untuk musim ini saya tandatangani kontrak dengan TFC.”
Tambahnya lagi, beliau tidak kisah bermain untuk skuad mana kerana baginya apa yang penting adalah keseronokkan bermain bola sepak sahaja.