Saya akan cuba buat angkatan 305kg di Paris nanti – Aniq Kasdan
Jaguh angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan memberitahu beliau meletak sasaran untuk melakukan angkatan 305 kilogram (kg) di temasya Sukan Olimpik Paris 2024 nanti.
Menurut Aniq, sasaran tersebut dilihat realistik kerana berdasarkan latihan persiapan yang dilakukan beliau sudah hampir berjaya melakukan angkatan menghampiri sasarannya.
“Sekarang ini di sesi latihan saya sudah berjaya melakukan angkatan 302kg, jadi insyaAllah saya akan cuba buat angkatan 305kg di Paris nanti,”
katanya.
Aniq turut sudah bersedia dengan cabaran yang bakal dihadapinya kerana kebanyakan pesaingnya adalah daripada negara Asia Tenggara yang mana beliau sering bertemu sebelum ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang mana Aniq akan terbang ke Antalya, Turki untuk membuat persediaan terakhir sebelum terbang ke Paris.
Dalam pada itu, Aniq juga memberitahu bahawa beliau bebas dari kecederaan serius sebaliknya hanya kecederaan kecil yang kini dalam proses pemulihan.
“Kecederaan serius tu tak adalah cuma kecederaan kecil sahaja itu pun sudah hampir pulih sepenuhnya. Saya mempunyai fisio saya sendiri jadi semuanya terjaga dengan rapi.”
Tambahnya lagi, beliau juga perlu memastikan dirinya dapat mengawal pemakanan dan mendapat rehat yang secukupnya bagi memastikan beliau berada pada tahap terbaik pada hari pertandingan nanti.
Sementara itu, Aniq juga berkata beliau akan mendengar nasihat daripada jurulatihnya sudah sentiasa kekal tenang dan fokus ketika beraksi nanti serta tidak memikirkan perkara yang tidak penting.