Harap dapat ke final untuk rebut pingat emas – Jonathan Wong

35

Atlet menembak kebangsaan, Jonathan Wong meletak sasaran untuk cuba mara ke peringkat akhir acara 10 meter (m) air pistol di Sukan Olimpik Paris 2024 nanti.

Menurut Jonathan, sekiranya beliau berjaya layak ke peringkat akhir beliau akan mempunyai peluang untuk cuba merebut pingat emas pertama negara di temasya itu.


“Kita akan tengok nanti macam mana sebab kita tak boleh nak ramal apa yang akan berlaku nanti sebab di Olimpik boleh jadi susah untuk kita jaga keputusan.

Apa yang saya boleh buat adalah untuk berikan persembahan terbaik saya untuk cuba dapatkan keputusan terbaik dengan harapan saya dapat layak ke peringkat akhir sekaligus bersaing untuk rebut pingat emas,”

katanya.

Jonathan berkata demikian ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum beliau berlepas ke Paris.

Dalam pada itu, Jonathan turut mengakui bahawa persiapan untuk ke Olimpik Paris kali ini lebih baik berbanding persiapan ketika mengharungi Olimpik Rio 2016.

“Berbanding Olimpik 2016 ini adalah persiapan yang terbaik kita pernah buat, jadi kita harap dapat keputusan baik di sana nanti.”

Beliau yang kini berada pada prestasi terbaik selepas kejohanan dunia yang berlangsung di Jerman baru-baru ini berkata beliau mahu teruskan momentum cemerlang dan beraksi dengan lebih baik lagi di Olimpik.

“Secara peribadi saya sasar untuk pecahkan rekod ‘personal season best’ yang mana seperti di Munich yang mana keputusan saya agak bagus tapi bukan yang terbaik, jadi saya harap dapat buat dengan lebih baik lagi di Paris nanti.”

Sementara itu, Sukan Olimpik 2024 akan berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos 2024.