Goh Jin Wei sudah sedia 100% untuk harungi Olimpik – Nova Armada
Jurulatih pemain badminton perseorangan wanita negara, Nova Armada memberitahu bahawa Goh Jin Wei sudah bersedia sepenuhnya untuk mengharungi temasya Sukan Olimpik Paris 2024.
Menurut Nova, biarpun berasa sedikit bimbang berikutan tidak dapat bersama anak buahnya itu di Paris tetapi beliau yakin Jin Wei akan dibantu oleh Pengarah Kejurulatihan ABM, Rexy Mainaky.
“Memang sedih dan bimbang tapi beliau sudah kuat dan kami juga sudah berbincang dan Coach Rexy akan bantunya di sana nanti jadi saya sudah tidak risau,”
katanya.
Berdasarkan undian peringkat kumpulan, Nova yakin bahawa Jin Wei mampu untuk mara ke peringkat seterusnya.
Jin Wei diundi dalam Kumpulan H bersama Kim Ga Eun dari Korea Selatan dan Johanita Scholtz dari Afrika Selatan.
Dalam pada itu, Nova berkata sasaran utama mereka adalah untuk layak ke peringkat suku akhir tetapi tidak mahu pemain itu memikirkan mengenai sasaran itu lagi sebaliknya fokus pada perlawanan di peringkat kumpulan terlebih dahulu.
“Melihat pada undian apa yang saya boleh katakan ia undian yang bagus dan Jin Wei ada peluang. Sasaran kita suku akhir tapi kita perlu fokus pada satu perlawanan ke satu perlawanan terlebih dahulu, mudah-mudahan lepas peringkat kumpulan.”
Sementara itu, jurulatih berasal dari Indonesia itu berkata tugasnya sebagai jurulatih hanya untuk membantu sahaja dan untuk seseorang pemain itu menjadi lebih baik terletak pada diri pemain itu sendiri.
“Yang akan buat Jin Wei jadi seorang pemain hebat atau tidak adalah dirinya sendiri, jurulatih hanya membantu sahaja.”
Sukan Olimpik akan berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos 2024.