KBS akan fokus anjur sukan untuk warga emas

90

Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh memberitahu bahawa pihaknya akan memberi tumpuan untuk menganjurkan sukan yang sesuai untuk warga emas.

Menurut Hannah, untuk merealisasikan inisiatif tersebut Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan bekerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk anjurkan sukan bagi kategori Masters.


“KBS akan fokus untuk dalam menganjurkan kejohanan-kejohanan yang sesuai untuk warga emas. Kejohanan-kejohanan ini kita akan mulakan yang mana kita umumkan sebelum ini adalah MSN akan buat kejohanan sukan kategori Masters selepas penganjuran SUKMA.

Ini kerana SUKMA adalah untuk golongan muda jadi untuk kategori terbuka kita akan buat ‘pilot project’ tahun ini di mana kita akan buat di KL Sports City,”

katanya.

Jelasnya lagi, butiran lanjut mengenai perkara ini akan diumumkan sendiri oleh pihak MSN selepas selesai temasya Sukan Olimpik Paris 2024 dan Le Tour de Langkawi (LTdL).

Dalam pada itu, Hannah juga berkata pihak KBS akan berfungsi lebih kepada penganjuran sukan untuk kategori Masters.

Pada masa sama pihaknya juga akan melakukan promosi sukan warga emas dan cara bersukan dengan selamat.

“Yang keduanya adalah untuk mencari jalan untuk kita promosikan sukan warga emas dan cara melakukan sukan warga emas dengan selamat jadi maklum balas kita dapat dari Institut Sukan Negara (ISN) dan Malaysian Association of Sports Medicine adalah kesedaran itu perlu wujud dalam kalangan warga emas untuk bersukan dengan cara selamat.”

Tambahnya lagi, pihaknya juga akan mengeluarkan kandungan-kandungan yang akan diedarkan ke kementerian-kementerian yang berkaitan supaya ia dapat disebarkan kepada warga emas.

Sementara itu, Hannah juga berkata pihak KBS juga kini sedang mempromosikan insentif cukai yang mana individu yang membeli peralatan sukan atau belajar sukan dengan jurulatih bertauliah akan dapat pengurangan cukai.