Kita tidak boleh bergantung kepada NFDP sahaja untuk pembangunan bola sepak – Sulaiman Hussin

37

Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Sulaiman Hussin berkata semua pihak kini perlu memberi tumpuan kepada pembangunan bola sepak dan tidak terlalu bergantung kepada Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) sahaja.

“Apabila saya menjadi Pengarah Teknikal saya turun sendiri melihat perlawanan bola sepak di peringkat sekolah, peringkat remaja dan saya agak bimbang juga mutu kualiti permainan di peringkat sekolah-sekolah dan juga di peringkat remaja.

Saya melihat satu perubahan dari sistem latihan perlu dilakukan, oleh itu semua pihak perlu bersedia kerana kita sebelum ini hanya bergantung kepada NFDP untuk jalankan pembangunan.

Jadi saya berharap dengan bermula dari KLFA itu sendiri kita perlu ambil peranan untuk melakukan pembangunan ini,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Sulaiman juga bersyukur apabila mendapat sokongan penuh daripada badan induk bola sepak di negeri itu untuk merancang program-program pembangunan yang kini sedang berjalan dengan lancar.


Oleh itu, beliau turut menyeru persatuan bola sepak negeri-negeri lain turut mengorak langkah yang sama.

Dalam pada itu, Sulaiman juga kurang bersetuju apabila ketika ini kebanyakkan akademi bola sepak menjadikan kejohanan-kejohanan peringkat pembangunan sebagai latihan untuk pemain.

“Saya melihat akademi-akademi di sekitar Lembah Klang ini tugas mereka nampak senang sangat, pertandingan, pertandingan dan pertandingan buat saya terfikir juga bila masa mereka berlatih, bila mereka membaiki kekurangan pemain.

Saya melihat pihak akademi menggunakan pertandingan sebagai tempat latihan. Oleh itu saya tidak bersetuju dan harap akan ada perubahan nanti.”

Tambahnya lagi, dengan adanya terlalu banyak pertandingan ia tidak akan dapat melahirkan pemain-pemain yang berkualiti sebaliknya hanya melahirkan pemain yang boleh bermain bola sepak sahaja.