Tak rugi jika kita beri peluang kepada Nafuzi Zain untuk kendali Harimau Malaya – Sulaiman Hussain

23

Dunia bola sepak tanah air ketika ini menjadi perbualan hangat dalam kalangan peminat bola sepak seluruh negara selepas berita mengejut peletakan jawatan serta merta daripada ketua jurulatih pasukan kebangsaan Kim Pan-gon baru-baru biarpun masih mempunyai baki kontrak.

Dengan pemergian Pan-gon, peminat kini sudah mula tertanya-tanya siapakah yang layak untuk mengendalikan Harimau Malaya dan rata-rata peminat mempunyai pandangan masing-masing yang mana ada yang mahukan jurulatih dari luar negara dan ada juga jurulatih tempatan.


Bagi Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Sulaiman Hussin, beliau lebih cenderung berharap agar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi ruang dan peluang kepada jurulatih tempatan muda yang berkualiti dan berkata ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC, Nafuzi Zain antara calon terbaik.

“Saya cukup tertarik kalau jurulatih tempatan muda yang kita kategorikan berkualiti diberi peluang dan contoh terbaik adalah Nafuzi Zain.

Kita takkan rugi kalau bagi peluang kepadanya sekali pun kerana kalau kita boleh bagi peluang kepada jurulatih luar, mengapa tidak jurulatih tempatan.

Kadang kala jurulatih luar pun tak mencapai kejayaan yang baik jadi mengapa tidak kita beri peluang kepada jurulatih tempatan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Dalam pada itu, Sulaiman turut mengulas lanjut mengenai cadangan ramai yang mahukan jurulatih terkemuka Park Hang-seo menjadi ketua jurulatih skuad negara yang baru berdasarkan reputasi beliau ketika mengendalikan pasukan kebangsaan Vietnam.

“Antara calon yang menjadi sebutan ramai ketika ini adalah Park Hang-seo antara calon yang sesuai tapi saya percaya bahawa seorang jurulatih tidak boleh terlalu bergantung kepada sejarah.

Mungkin sejarah Park Hang-seo di Vietnam bagus tapi belum tentu lagi beliau dapat teruskan sejarah itu Malaysia.”

Jelasnya lagi, faktor seperti karakter dan kemampuan pemain juga memainkan peranan penting dalam kejayaan seseorang jurulatih.