Ong Kim Swee mahu Sabah FC bangkit untuk kutip 3 mata menentang Negeri Sembilan FC

43

Ketua jurulatih pasukan Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee menuntut pasukannya untuk berikan persembahan terbaik untuk mendapatkan tiga mata penuh apabila menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) pada aksi Liga Super yang akan berlangsung malam ini di Stadium Likas.

Menurut Kim Swee, pasukannya perlu bangkit selepas tewas dalam dua perlawanan di tempat sendiri sebelum ini.


“Kita tewas kepada pasukan Terengganu FC dan harus melupakan bab Piala FA. Tempohari juga Sabah tewas kepada JDT, jadi kita fokus memberi tumpuan semula kepada perlawanaan Liga Super.

Perlawanan menentang NSFC sangat penting untuk kita menambah keyakinan serta memastikan Sabah tidak lagi akan kehilangan mata sekaligus memperbaiki kedudukan dalam carta Liga Super,”

katanya.

Tambahnya lagi, berdasarkan prestasi semasa skuad The Rhinos dijangka tidak akan berdepan masalah besar untuk mendapatkan keputusan positif.

“Beraksi di laman sendiri memberi kelebihan kepada Sabah pada perlawanan malam ini. Seboleh-bolehnya kita ingin memperoleh tiga mata berharga pada perlawanan malam ini.

Kita sudah bersiap sedia dari segi taktikal, mental serta meningkatkan keupayaan pemain untuk memberikan komitmen tinggi untuk mencapai keputusan positif.”

Dalam pada itu, Kim Swee turut memberi bayangan bahawa perlawanan malam ini akan menyaksikan beliau berkemungkinan akan menurunkan pemain muda dari skuad Sabah FC II selepas beberapa pemain itu dilihat menjalani latihan bersama skuad senior.

“Kita memberikan mereka peluang untuk menimba pengalaman, ini merupakan pemain Sabah FC II yang tidak bersama di Kuala Lumpur, mereka mengikuti latihan untuk mencari keserasian dalam kalangan pemain sedia ada.

Kita ingin membuat penilaian dahulu sebelum menentukan sama ada mereka ini akan diberikan peluang atau sebaliknya untuk beraksi pada malam ini.”

Sementara itu, Kim Swee turut memaklumkan bahawa pemain daripada Liga Super diturunkan kepada Sabah FC II.