Jika kita berpijak pada realiti, Harimau Malaya boleh pergi lebih jauh – Sulaiman Hussin

35

Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Sulaiman Hussin memberitahu bahawa pasukan kebangsaan Malaysia masih lagi belum dapat menguasai rantau Asia Tenggara (ASEAN).

Menurut Sulaiman, proses untuk skuad Harimau Malaya menjadi kuasa besar bola sepak adalah satu proses yang cukup panjang.


“Proses untuk kita menjadi kuasa besar memang panjang kerana di peringkat Asia Tenggara sendiri kita masih belum dapat menguasai sebenarnya kerana kita belum lagi secara konsisten menewaskan Thailand, Vietnam dan Indonesia.

Jika kita berjaya melakukan ini secara konsisten baru kita boleh mengorak langkah ke peringkat Asia pula dan bila kita sudah berada di tahap Asia barulah kita boleh memikirkan tentang Piala Dunia.

Kalau kita berpijak pada realiti, kita boleh mengorak langkah lebih jauh,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahnya lagi, tiada masalah untuk meletak sasaran besar tetapi sasaran itu perlu realistik dengan keadaan seperti kemampuan pemain sedia ada.

“Apabila sasaran itu realistik saya percaya bahawa apa yang Kim Pan-gon letakkan sebelum ini tidak mustahil untuk kita capai.”

Sulaiman berkata demikian bagi mengulas mengenai situasi bola sepak negara ketika ini selepas Kim Pan-gon meletak jawatan serta merta sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya baru-baru ini.

Sementara itu, beliau juga berkata jika ketua jurulatih baharu dilantik, pengendali baru itu perlu diberikan ruang dan masa untuk membentuk skuad yang ampuh.

Malah Sulaiman juga berkata beliau tidak akan terkejut sekiranya ketua jurulatih yang baharu nanti mampu bawa skuad negara perlu lebih jauh.