Kita peminat bola sepak bukan nak lihat kemenangan saja tapi nak tengok Harimau Malaya dapat beri saingan – Dr. Mat

33

Pensyarah Kanan PJ & Sains Sukan IPGM Sultan Mizan dan Pengasas DNA HLMAT, Dr. Mat Berahim menyambut baik keputusan ketua jurulatih pasukan kebangsaan Malaysia, Kim Pan-gon (KPG) meletak jawatan serta merta atas alasan peribadi.

Menurut Dr. Mat, walaupun beliau suka dengan semangat juang tinggi yang ditonjolkan oleh pengendali dari Korea Selatan itu tetapi berdasarkan prestasi skuad Harimau Malaya di pentas antarabangsa menjadi jurulatih itu tidak relevan.


“Saya sebenarnya suka pada Kim Pan-gon kerana orang Korea Selatan mempunyai semangat yang cukup bagus tapi bagi saya yang menyatakan bahawa KPG tidak relevan pada pendapat saya kita boleh tengok pada prestasi pasukan yang dilatih olehnya.

Sebagai contoh kita boleh tengok Piala Asia 2023 yang mana kita bawa balik satu mata sahaja. Kemudian skuad B-23, memang bukan dikendalikan oleh KPG sebaliknya pembantunya tapi keputusannya kita dapat kosong mata.

Dan yang paling penting sekali saya tidak suka taktikal beliau, itu saja,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambah Dr. Mat lagi, beliau tiada masalah sekiranya Pan-gon mengubah taktikal permainan skuad negara kepada taktikal bola sepak moden.

Dalam pada itu, Dr. Mat turut menjadikan juara Piala Euro 2024 baru-baru ini iaitu Sepanyol di mana kejayaan mereka disumbang oleh jumlah hantaran yang dilakukan sepanjang perlawanan.

“Saya mempertikaikan bukan saya cakap di kedai kopi tapi saya cakap berdasarkan statistik. Cuba tengok Sepanyol juara, kenapa mereka juara. Tengok berapa jumlah hantaran mereka dan bagaimana permainan mereka.

Adakah mereka bermain dengan permainan seperti orang Kelantan cakap taktikal ‘gelembung buaya’, bola tinggi, bola jauh sedangkan pemain-pemain kita bersaiz kecil.

Saya bukan tak suka Pan-gon tapi kalau beliau buat perubahan dari segi taktikal, saya akan setuju.”

Sementara itu, Dr. Mat juga memuji taktikal permainan pasukan B-19 kendalian Juan Torres Garrido yang sedang bersaing di Kejuaraan B-19 ASEAN 2024.

“Lihat pasukan B-19 saya dengar mereka bermain bola leret dan anda tengok Tiktok saya, ada saya kecam mereka? Kalau kita kalah dengan taktikal moden kita tidak akan dikatakan sebagai pasukan yang lemah, kita kalah dari segi taktikal.

Kita peminat bola sepak bukannya kita nak menang tetapi kita nak pasukan kita bersaing.”