KL City FC sudah mulakan proses pembayaran gaji

46

Kemelut tunggakan gaji pasukan KL City FC akhirnya menemui tanda noktah apabila Ahli Lembaga Pengarah Kuala Lumpur United Football Club Sdn Bhd telah tampil memaklumkan bahawa proses pembayaran gaji pemain dan pegawai pasukan sedang giat dilaksanakan.

Perkara itu dinyatakan menerusi satu kenyataan rasmi selepas Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Kuala Lumpur United Fooball Club Sdn Bhd telah diadakan semalam.


“Dengan sukacitanya mengumumkan bahawa Ahli Lembaga Pengarah dengan sepakat akan menyelesaikan segala kekeliruan dan salah faham yang timbul. Sehubungan itu, Ahli Lembaga Pengarah sebulat suara bersetuju bergerak ke hadapan kenyataan media hanya akan dikeluarkan setelah mengambil kira keputusan kolektif yang telah diputuskan bersama.

Kini, proses pembayaran gaji sedang giat dilaksanakan serta pembayaran kepada badan berkanun. Ahli Lembaga Pengarah sentiasa bersatu padu untuk maju ke hadapan dan akan berdiri teguh di belakang kelab bagi memastikan Kuala Lumpur City FC meneruskan permulaan yang cemerlang musim ini, mengatasi segala kemungkinan dan terus menghasilkan keputusan yang baik.”

Dalam kenyataan sama pihak Ahli Lembaga Pengarah juga yakin bahawa KL City adalah sebuah kelab yang mampu untuk menghadapi sebarang cabaran dan onak duri yang dihadapi bagi mencapai kejayaan.

Tambah mereka lagi, berdasarkan tiga penampilan di perlawanan akhir di tiga pertandingan berbeza dalam tempoh tiga musim terakhir merupakan bukti bahawa skuad The City Boys berada di landasan tepat dalam membina pasukan yang bagus dan mampu beri saingan.

Pada masa sama mereka turut berterima kasih kepada peminat yang sentiasa berada di belakang kelab dalam apa jua situasi baik dan buruk.

Sementara itu, mereka turut menyeru seluruh peminat ‘City Boys’ dan ‘City Girls’ untuk turun ke Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur untuk aksi menentang Sri Pahang FC pada 27 Julai dan Sabah FC pada 31 Julai ini.