Manuel Hidalgo teruja jika dapat sarung jersi Harimau Malaya

68

Pemain import sensasi Sri Pahang FC (SPFC), Manuel Hidalgo mengakui akan berasa cukup teruja dan gembira sekiranya beliau dapat menyarung jersi pasukan kebangsaan Malaysia satu hari nanti apabila nama beliau kini menjadi sebutan ramai sebagai pemain terbaru yang bakal dinaturalisasikan.

Difahamkan Hidalgo hanya perlu tempoh kira-kira setahun setengah lagi untuk melayakkan diri untuk dinaturalisasikan.


“Saya memang mahu dan jika ia berlaku. Saya terbuka mengenai perkara ini jadi kita lihat nanti macam mana tapi saya memang berharap dapat main untuk Malaysia,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Hidalgo berkata demikian ketika ditemui selepas perlawanan Liga Super yang menyaksikan Sri Pahang berjaya bawa pulang satu mata selepas terikat tanpa jaringan menentang KL City FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur hujung minggu lalu.

Dalam pada itu, pemain berasal daripada Argentina itu mengakui perlawanan menentang KL City cukup sukar dan keputusan seri adalah adil buat kedua-dua pasukan.

“Saya rasa ia keputusan yang adil kerana kedua-dua pasukan buntu untuk menjaringkan gol. Ia perlawanan yang sukar dan sangat fizikal, jadi bagi saya ia adalah keputusan yang adil.”

Sementara itu, Hidalgo mengakui berasa sedikit marah ketika perlawanan kerana pasukan tidak bermain seperti yang mereka mampu dan tidak banyak mencipta peluang.