Giancarlo Gallifuoco tolak tawaran lain kerana mahu kekal bersama KL City sehingga bersara
Pemain import sensasi KL City FC, Giancarlo Gallifuoco mendedahkan ada menerima tawaran daripada beberapa kelab tetapi mengambil keputusan untuk menolak tawaran itu kerana mahu terus kekal bersama KL City.
Menurut Giancarlo Gallifuoco atau lebih mesra dengan panggilan GG, beliau mahu terus bermain bersama KL City hingga beliau bersara.
“Semua dengan maklum dengan masalah dalaman yang berlaku dan ini telah menarik perhatian banyak pihak. Semua tahu saya sudah bertahun bermain untuk kelab ini.
Tapi seperti mana yang saya selalu cakap ‘Sampai mati Kuala Lumpur’ dan mahu terus kekal bermain untuk kelab ini sehingga saya bersara,”
katanya kepada Harimau Malaya.
GG berkata demikian ketika ditemui selepas perlawanan Liga Super menentang Sri Pahang FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.
Dalam pada itu, GG berasa sedikit kecewa apabila mereka keciciran dua mata ketika aksi menentang Sri Pahang biarpun mereka bermain dengan cukup baik.
“Mungkin saya akan sedikit ‘bias’ tapi saya rasa kami bermain dengan lebih baik yang mana kami mempunyai banyak peluang bagus dan saya juga rasa kami ‘dictate’ perlawanan dan sehingga 10 minit terakhir pasukan lawan hanya ada satu percubaan sahaja.
Jadi saya rasa kami keciciran dua mata berbanding kutip satu mata.”
Beliau bagaimanapun gembira apabila mereka berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dan tanpa bolos dalam tiga perlawanan terakhir.
Sementara itu, GG juga meletak sasaran untuk pasukan KL City untuk menamatkan saingan Liga Super musim ini di kedudukan Top 5.