Kita kena sokong minat anak tapi perlu seimbangkan dengan Pelajaran – Erni Rosliza

135

Tidak dapat dinafikan pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi kini semakin berkembang dengan cukup positif dengan kewujudan banyak akademi bola sepak di seluruh negara yang memberi ruang dan peluang kepada kanak-kanak untuk menceburi sukan bola sepak.

Erni Rosliza merupakan salah seorang ibu bapa yang memberi sokongan penuh kepada anak-anaknya yang mahu bermain bola sepak dengan menyertai NNine Puma FC.


“Bukan seorang tapi saya ada tiga orang anak yang main bola sepak. Mereka memang minat jadi kita sebagai ibu bapa sokong saja.

Saya juga tiada masalah jika anak-anak pilih untuk jadi pemain bola sepak profesional. Oleh sebab itu saya sudah menyokong dari sekarang pun,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau bagaimanapun berkata walaupun anak-anaknya fokus bermain bola sepak tetapi mereka juga perlu fokus pada pelajaran.

“Kita memang perlu sokong minat mereka pada masa sama pelajaran juga penting jadi perlu seimbangkan dengan baik.”

Salah seorang anak Erni yang bermain untuk pasukan NNine Puma bagi kategori bawah 12 tahun (B-12) telah berjaya menjadi juara kejohanan Harimau Malaya Junior Cup yang berlangsung di Arena Sukan Kuala Lumpur baru-baru ini.

Susulan kemenangan itu, NNine Puma berjaya layak ke Grand Final yang akan berlangsung pada 10 Ogos ini yang mana mereka akan berentap dengan juara dari tiga zon lain untuk merebut hadiah utama iaitu tajaan untuk menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa di luar negara.