Tak sasar podium tapi sasar untuk Azeem dapat catatan ‘season best’ di Olimpik – Robert J Ballard
Pengarah Kejurulatihan Kesatuan Olaharaga Malaysia (KOM), Robert J Ballard memberitahu mereka tidak meletak sasaran untuk jaguh pecut negara Azeem Fahmi untuk mendapatkan keputusan podium di temasya Sukan Olimpik Paris 2024.
Menurut Ballard, Azeem masih lagi muda dan ini merupakan Olimpik pertamanya oleh itu mereka letak sasaran untuk atlet itu cuba buat catatan musim terbaiknya.
“Kami tidak akan menjangkakan beliau akan berada di kedudukan podium kerana beliau baru berusia 20 tahun dan ini adalah Olimpik pertama beliau.
Saya dan Coach Ken di sini adalah untuk membantu Azeem buat terbaik di sana nanti yang mana kami sasar untuk beliau dapat buat catatan ‘season best’,”
katanya.
Terdahulu Azeem berjaya layak ke Olimpik selepas mendapat slot ‘wild card’.
Dalam pada itu, Ballard berkata fokus mereka ketika ini adalah kepada satu saringan ke saringan seterusnya.
“Beliau akan beraksi di pusingan pertama dan jika beliau tampil prestasi terbaik beliau berpeluang untuk mara ke pusingan separuh akhir dan jika beliau berjaya ke separuh akhir ia akan menjadi kejayaan yang cukup besar sekaligus menjadi penanda awal terbaik untuk Olimpik 2028.”
Sementara itu, beliau juga menasihati Azeem supaya tidak tertekan sebaliknya nikmati dan buat larian seperti yang beliau buat ketika latihan.