Bukit Tambun FC kini dijenamakan semula kepada Brotherkita FC
Pasukan Bukit Tambun FC yang sedang bersaing dalam saingan liga semi-profesional Liga A1 (Liga M3) kini dijenamakan semula dan bakal dikenali sebagai Brotherkita FC.
Penjenamaan semula kelab tersebut dilakukan selepas kelab itu diambil alih oleh Datuk Razalif Mohamad Zain yang kini menjadi pemilik.
“Bukit Tambun FC ini akan dijenamakan semula sebab saya baru sahaja ambil alih pengurusan dan segalanya dan ketika ini kita sedang buat pembaharuan semula dan kita akan jenamakan semula Bukit Tambun FC sebagai Brotherkita FC.
Ketika ini juga sedang berlangsung proses perbincangan dengan pengelola liga iaitu Amateur Football League (AFL) dan saya rasa mereka tiada masalah mengenai pertukaran nama kelab sekiranya semuanya berjalan dengan lancar,”
katanya.
Menurut Razalif, beliau sudah pun mempunyai perancangan untuk membuat rombakan besar dalam pasukan termasuk membawa masuk pemain import pada jendela perpindahan kedua nanti.
Dalam pada itu, Razalif turut memberitahu bahawa beliau telah menyediakan bajet berjumlah RM3.5 juta untuk mengharungi saingan liga pada musim ini.
Sasaran Razalif untuk pasukannya pada musim ini adalah untuk menamatkan saingan Liga A1 di kedudukan tiga teratas dan bagi memastikan sasaran itu dapat dicapai beliau telah pun membuat perancangan untuk pasukan yang dikendalikan oleh Jacob Joseph ke Dubai.
Pasukan akan berada di Dubai selama seminggu dan akan mengharungi beberapa perlawanan persahabatan dengan kelab di sana.
“Di Dubai nanti kita akan lawan pasukan top yang setanding JDT.”
Sementara itu, Razalif juga memberitahu beliau tidak meletak sasaran pulangan pelaburan (ROI) dalam masa terdekat kerana sedar bola sepak negara sukar untuk menjana keuntungan.