Percaya mampu ke Liga Super jadi faktor Jacob Joseph setuju jadi ketua jurulatih Bukit Tambun FC
Ketua jurulatih baharu Bukit Tambun FC, Jacob Joseph memberitahu antara faktor beliau bersetuju untuk mengendalikan pasukan itu kerana percaya mereka mampu naik ke Liga Super pada musim hadapan.
“Saya percaya dengan Datuk Presiden (Datuk Razalif) sebab cara beliau uruskan pasukan dan percaya pasukan ini akan pergi jika bukan musim ini, musim depan ke Liga Super,”
katanya.
Jacob juga menyuarakan keyakinan beliau bahawa Bukit Tambun FC yang bakal dijenamakan semula kepada Brotherkita FC mampu mencapai sasaran untuk berada di kedudukan tiga teratas Liga A1 (semi-profesional Liga M3).
“Mungkin kita boleh capai kerana pasukan ini adalah pasukan yang bagus cuma ketika ini kita tiada penyerang tulen dan pada tiga perlawanan yang dikendalikan saya sebelum ini saya terpaksa gunakan pemain tengah sebagai penyerang.
Jadi mungkin pada jendela perpindahan kedua nanti kita akan bawa masuk pemain import dan beberapa pemain lagi jadi pada pusingan kedua nanti kita akan menjadi lebih kuat.”
Tambahnya lagi, sekurang-kurangnya tujuh pemain baru akan dibawa masuk pada jendela perpindahan kedua ini termasuk pemain pengalaman yang beraksi di Liga Super.
Terdahulu, pemilik kelab Datuk Razalif telah memberitahu bahawa beliau akan membuat rombakan besar-besaran untuk memantapkan lagi skuad untuk cuba merealisasikan sasaran utama mereka iaitu bermain di Liga Super.
Dalam pada itu, Jacob merupakan seorang jurulatih yang cukup berpengalaman yang mana beliau sebelum ini merupakan ketua jurulatih pasukan wanita kebangsaan, Malayan Tigress.
Selepas tidak lagi bersama pasukan kebangsaan, beliau telah berkelana ke luar negara sebelum mendapat tawaran kembali ke kancah bola sepak tanah air.
“Selepas mengendalikan Malayan Tigress saya telah ke India untuk mengendalikan salah sebuah kelab yang beraksi di India League dan kemudian saya berhijrah ke Bangladesh selama tiga bulan sebelum pulang ke tanah air selepas mendapat tawaran daripada Bukit Tambun FC.”
Sementara itu, tugas besar menanti Jacob untuk membawa pasukan Bukit Tambun ke landasan tepat berikuta mereka ketika ini berada di kedudukan ke-12 selepas tujuh perlawanan hasil satu kemenangan, satu seri dan lima kekalahan.