Bobie Farid Shamsudin lepas jawatan sebagai CEO Interim Perak FC

101

Berita sedih berganda buat peminat pasukan Perak FC apabila mereka bukan sahaja tewas 2-1 kepada Kuching City FC dalam perlawanan Liga Super semalam tetapi mereka juga kehilangan tulang belakang pasukan mereka iaitu Bobie Farid Shamsudin.

Ia agak mengejutkan ramai apabila Bobie mengambil keputusan untuk meletak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Interim selepas pelbagai usaha yang dilakukan untuk mengembalikan zaman kegemilangan pasukan itu.


Perkara itu diumumkan sendiri oleh Bobie menerusi satu hantara di laman sosial Facebook miliknya.

“Dengan rasminya hari ini saya melepaskan jawatan interim CEO Perak FC. Dah lama sangat saya tinggalkan rakan-rakan niaga saya. ‘Back to real work, real people’. Bagi saya sukan ini susah nak ‘repair’..Adios PFC,”

tulisnya.

Peletakan jawatan Bobie menyaksikan peminat-peminat The Bos Gaurus kini tertanya-tanya siapakah yang layak untuk mengisi kerusi panas tersebut bagi mengemudi pasukan itu ke zaman kegemilangan mereka.

Dalam pada itu, dijangka pihak kelab akan mengeluarkan satu kenyataan rasmi mengenai peletakan jawatan Bobie dan mungkin akan mengumumkan CEO Interim yang baharu.

Sementara itu, pasukan Perak kini  sedikit bergelut apabila berada di kedudukan kesembilan liga selepas tujuh perlawanan hasil dua kemenangan dan lima kekalahan.