Dengan cara kami bermain, Kuching City FC memang layak menang – Aidil Sharin Sahak

60

Ketua jurulatih pasukan Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak memberitahu bahawa pasukannya berhak untuk menang pada perlawanan menentang Perak FC semalam kerana mereka telah mempamerkan corak permainan yang cukup mantap untuk buat kebangkitan sekaligus mengecewakan pasukan tuan rumah.

Menurut Aidil, biarpun ketinggalan di separuh masa pertama namun pertukaran strategi dan pemain di separuh masa kedua membuahkan hasil apabila mereka berjaya menjaringkan dua gol untuk membawa pulang tiga mata berharga.


“Kami berhak untuk menang perlawanan ini. Dengan cara kami bermain dan berjuang balik dari ketinggalan 1-0. Apa yang penting adalah karakter pemain-pemain pada malam ini yang berjaya mendapatkan tiga mata penuh jadi saya perlu beri mereka ganjaran besar selepas ini.

Aksi kami pada separuh masa pertama sedikit terganggu dek perlawanan ditunda gara-gara hujan lebat tapi perubahan yang kita buat di separuh masa kedua dengan memasukkan pemain baru dan berpengalaman berjaya membuahkan hasil,”

katanya.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Ipoh menyaksikan pasukan lawan Kuching City membuat kebangkitan di separuh masa kedua dengan menjaringkan dua gol untuk mengesahkan tiga mata dengan keputusan 2-1.

Dalam pada itu, Aidil juga berharap agar peminat tidak meletakkan tekanan kepada pemainnya Daniel Amir yang menjadi sebutan ramai peminat sejak kebelakangan ini selepas mempamerkan prestasi cemerlang.

“Saya rasa baik kita jangan letak tekanan kepada Daniel Amir kerana beliau sudah lama tidak beraksi dan masih banyak perkara yang beliau perlu perbaiki.

Oleh sebab itu kita perlu bijak mengendalikan beliau kerana beliau sering keluar masuk dek kecederaan. Beliau mampu jadi lebih baik dari apa yang kita lihat ketika ini.”

Sementara itu, Kuching City yang beberapa musim lalu menjadi pasukan tercorot Liga Super kini bangkit memperlihatkan taring mereka sejak Aidil mengambil alih pasukan di mana mereka kini berada di kedudukan keempat liga hasil dua kemenangan, empat seri dan satu kekalahan.