Dalam keadaan terkini perubahan harus dilakukan – Yusri Che Lah

40

Ketua jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah memberitahu perubahan perlu dilakukan selepas melihat keadaan terkini pasukan yang goyah termasuk kecederaan yang membimbangkan pemain import mereka Lee Tae-min.

“Lee sudah mengalami kecederaan sebelum kita pergi ke Kelantan tapi sehari sebelum perlawanan semalam beliau mengalami kecederaan yang agak merisaukan dan kita dikhabarkan akan hilang beliau tiga atau lebih minggu.

Esok kita akan mendapat keputusan MRI untuk melihat tahap kecederaan beliau. Dalam keadaan terkini, jendela perpindahan kedua memang jendela perpindahan kedua tapi perubahan harus dilakukan,”

katanya.

Yusri berkata demikian ketika sidang media selepas tamat perlawanan Liga Super yang menyaksikan pasukannya tewas 2-1 kepada Kuching City FC di Stadium Ipoh, Perak.


Mengulas lanjut mengenai prestasi pasukannya pada perlawanan semalam, Yusri meminta pemain-pemainnya untuk menilai sendiri prestasi masing-masing samada sudah cukup untuk beraksi di Liga Super atau tidak.

“Pemain perlu melihat seandai mereka merasakan sudah cukup berada di ‘level’ Liga Super ternyata mereka perlu bekerja lebih keras untuk sampai ke ‘level’ yang sepatutnya dan pada perlawanan malam ini apa yang saya boleh katakan adalah kealpaan terutamanya di separuh masa kedua. Itu adalah bukan yang kita harapkan dan kerisauan saya menjadi kenyataan.”

Tambahnya lagi, tahap keyakinan pemain menjadi masalah utama pasukan ketika ini yang mana beliau berpandangan sekiranya mereka mempunyai keyakinan tinggi ia akan menyumbang kepada penguasaan bola dan jika mereka mempunyai penguasaan bola sukar untuk mereka tewas.

Dalam pada itu, Yusri juga berkata pihaknya akan membuat penilaian terhadap pemain sedia ada ketika ini yang disifatkan sebagai pelaburan yang kurang memberikan impak.

“Seandainya kita mempunyai lapan pemain import hari ini dengan keputusan sedia ada bagi saya ia satu pelaburan yang agak kurang memberikan impak. Saya tidak menyalahkan mana-mana pihak cuma kita perlu melihat kembali pemain yang kita ada ketika ini.”

Yusri juga memberi pujian kepada ketua pasukan Wan Zack Haikal yang tidak sepatutnya diturunkan dek kecederaan lutut tetapi mempamerkan prestasi yang cukup cemerlang.

“Wan Zack tidak sepatutnya diturunkan kerana kecederaan lutut tapi masih memberikan komitmen yang tinggi mengalah pemain-pemain muda yang lain jadi saya rasa mereka harus berasa malu kerana Wan Zack sentiasa memberikan sepenuhnya ketika turun beraksi.”

Sementara itu, The Bos Gaurus kini berada di kedudukan kesembilan liga hasil dua kemenangan dan lima kekalahan.