Daniel Amir tak fikir pujian diterima sebaliknya mahu dapatkan semula ‘keseronokan’ bermain bola sepak

86

Pemain tengah Kuching City FC, Daniel Amir menjadi buah mulut ramai peminat dan pengkritik bola sepak tanah air selepas mempamerkan prestasi yang cukup cemerlang pada musim ini termasuk membantu pasukannya tewaskan Perak FC 2-1 pada perlawanan Liga Super semalam.

Menurut Daniel, beliau enggan memikirkan apa yang diperkatakan ramai ketika ini sebaliknya fokus beliau kini untuk kembali dapatkan minit permainan.


“Macam saya sendiri saya tidak terlampau fikirkan semua benda itu sebab apa yang saya nak dapatkan balik keseronokan bermain bola sepak dan mendapatkan minit permainan.

Alhamdulillah dibawah Coach Aidil Sharin Sahak beliau bagi saya peluang itu dan tidak meletak tekanan tinggi kepada saya dan perkara itu buat saya berasa cukup bersyukur dapat bermain bersama Kuching City,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Daniel pada masa sama turut menjelaskan beliau tidak mempunyai sebarang sasaran termasuk pasang impian untuk menyarung jersi pasukan kebangsaan, sebaliknya hanya mahu balas kepercayaan yang diberikan oleh Coach Aidil.

“Saya nak balas balik kepercayaan Coach Aidil dan saya kalau boleh nak bagi yang terbaik untuk bantu pasukan.”

Sementara itu, kemenangan terbaru di Stadium Ipoh telah menyaksikan Kuching City berjaya melonjakkan pasukan mereka untuk berada di kedudukan keempat Liga Super selepas tujuh perlawanan hasil dua kemenangan, empat seri dan satu kekalahan.