Keputusan yang agak kecewa, kami hilang ramai tonggak dek kecederaan – Ong Kim Swee

31

Ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mengakui berasa kecewa dengan keputusan perlawanan menentang KL City FC semalam yang menyaksikan pasukannya tewas 3-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

Menurut Kim Swee, pasukan tidak bermain seperti yang dirancang terutamanya selepas salah seorang pemainnya dilayangkan kad merah.


“Keputusan yang mengecewakan di mana kita gagal mendapatkan sebarang mata dan juga prestasi yang tidak seperti yang kita inginkan dimana selepas ketinggalan terutamanya dengan layangan kad merah ini menyukarkan keadaan kita,”

katanya.

Tambahnya lagi, pasukannya ketika ini turut bergelut dengan tahap kecergasan pemain apabila ramai tonggak utama tidak dapat diturunkan dek kecederaan.

“Kita mempunyai beberapa pemain yang mengalami kecederaan terutamanya Gabriel, Park di mana mereka masih lagi mengalami kecederaan sebelum ini tetapi terpaksa diturunkan namun tidak boleh menghabiskan perlawanan.

Jadi saya terpaksa menukar Daniel Ting bermain di bahagian tengah. Ramai lagi yang cedera antaranya Stuart, Saddil jadi kita kehilangan ramai pemain utama.”

Jelasnya lagi beberapa tonggak utama yang cedera akan berehat panjang untuk proses pemulihan dan tidak akan diturunkan dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Kim Swee berkata fokusnya kini adalah untuk buat percaturan terbaik dengan menggunakan pemain sedia ada untuk mengharungi saingan liga.

“Keadaan tidak memihak kepada kita dari segi kecederaan dimana ramai pemain utama dan kita perlu fikirkan terutamanya pemain yang masih bersama kita untuk mengisi kekosongan jadi mereka perlu ambil peluang ini untuk buktikan mereka mampu beraksi sebagai pemain utama.”

Sementara itu, susulan kekalahan skuad The Rhinos kini jatuh ke kedudukan keenam Liga Super dengan mengumpul 10 mata hasil tiga kemenangan, satu seri dan dua kekalahan.