Bagi saya penting untuk kekalkan ‘clean sheet’ kerana ia beri petanda kami stabil – Miroslav Kuljanac
Ketua jurulatih pasukan KL City FC, Miroslav Kuljanac mengakui pentingnya untuk pasukannya mengekalkan ‘clean sheet’ dalam setiap perlawanan yang mana ia akan memberi petanda bahawa pasukan mereka dalam keadaan stabil.
“Bagi saya amat penting untuk kekalkan ‘clean sheet’ kerana ia memberi petanda bahawa kami stabil, bagus apabila bertahan tidak kira ketika kami sedang mendahului atau ketinggalan kerana kami sentiasa perlu bermain secara bertahan kerana saya suka tamatkan perlawanan dengan ‘clean sheet’,”
katanya.
KL City terus memperlihatkan prestasi yang cukup cemerlang biarpun dibelenggu masalah kewangan apabila mereka berjaya menewaskan Sabah FC 3-0 dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur semalam.
Mengulas lanjut mengenai perlawanan tersebut, Miroslav Kuljanac berkata beliau sedikit bimbang kerana tempoh rehat yang singkat akan menjejaskan permainan mereka dek pemain keletihan tetapi beliau gembira apabila pasukannya berjaya menguasai perlawanan.
Dalam pada itu, selain saingan domestik Liga Malaysia skuad The City Boys juga mempunyai jadual yang agak padat apabila perlu mengharungi kejohanan di peringkat Asia iaitu Asean Club Championship (ACC) 2024/25 yang akan bermula pada 22 Ogos ini.
“Kami tidak mempunyai masa yang cukup kerana jadual yang padat dan kami juga akan memulakan kempen ACC pada bulan Ogos yang mana ia perlawanan yang cukup penting buat kami jadi kami kena buat persiapan yang serius.”
Untuk saingan ACC, KL City telah diundi dalam Kumpulan B bersama Buriram United, Chong An Hanoi, Borneo, Kaya Iloilo dan Lion City Sailors.
Dua pasukan teratas kumpulan akan mara ke peringkat kalah mati.
Sementara itu, selain KL City sebuah lagi pasukan dari Malaysia iaitu Terengganu FC akan turut beraksi di ACC yang mana mereka diundi dalam Kumpulan A.