Saya kini lebih berkeyakinan kerana mempunyai banyak minit permainan – Haqimi Rosli
Penyerang muda sensasi KL City FC, Haqimi Rosli memberitahu bahawa beliau kini lebih berkeyakinan setiap kali diturunkan dan bertekad mahu bantu pasukannya untuk cuba merebut kedudukan tiga teratas Liga Super pada musim ini.
“Pada tahun ini saya banyak minit permainan jadi saya lebih yakin tahun ini jadi saya berterima kasih kepada ketua jurulatih yang beri peluang untuk saya turun bermain.
Saya masih perlu ‘improve’ lagi saya punya skil individu dan sasaran saya tahun ini adalah mahu bantu KL City untuk kekalkan ‘Top 3’,”
katanya.
Haqimi berkata demikian selepas tamat perlawanan Liga Super yang menyaksikan KL City berjaya menang 3-0 ke atas Sabah FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, penyerang pasukan kebangsaan Harimau Malaya itu juga memberitahu skuad The City Boys pada musim ini berbeza dari musim lalu yang mana lebih kuat.
Ia dibuktikan apabila mereka berjaya mengekalkan rekod tanpa bolos dalam empat perlawanan terakhir mereka.
Sementara itu, Haqimi turut mengakui menerima beberapa tawaran dari beberapa kelab untuk jendela perpindahan kedua yang akan dibuka tidak lama lagi namun mengambil keputusan untuk terus kekal bersama KL City.
“Ya memang ada dapat beberapa tawaran tapi buat masa ini saya mahu terus kekal bersama KL City lagi.”