Saya sedih dengan berita CEO Perak FC letak jawatan – V. Saravanan
Bekas lagenda Perak yang juga merupakan penolong ketua jurulatih untuk pasukan Piala Presiden Perak FC, V. Saravanan meluahkan rasa sedihnya apabila mendapat berita mengenai keputusan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bobie Farid Shamsudin meletak jawatan.
Menurut Saravanan, beliau hormat keputusan yang dibuat oleh Bobie tetapi berharap agar tidak terburu-buru membuat keputusan itu.
“Saya sedih tapi hormat keputusan beliau tapi jangan ambil keputusan terburu-buru kerana penyokong masih lagi suka dengan CEO.
Saya tidak tahu kenapa beliau letak jawatan, mungkin ada alasan beliau tersendiri tapi bagi saya ia satu kerugian buat pasukan Perak dan saya rasa sekarang bukan masa yang sesuai,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Saravanan pada masa sama turut dedahkan bahawa Bobie merupakan individu yang bertanggungjawab menghubungi dan memujuknya untuk menyertai pasukan Perak.
Dalam pada itu, Saravanan juga berharap agar Bobie dapat mempertimbangkan semula keputusannya itu.
“Saya harap Bos dapat fikir banyak kali sebab beliau sudah mempunyai banyak perancangan tersendiri dan saya harap perkara ini tidak betul.”
Beliau bagaimanapun berkata sekiranya berita tersebut benar dan muktamat beliau hanya boleh mengucapkan selamat maju jaya buat Bobie.
Sementara itu, Bobie merupakan seorang CEO kelab bola sepak yang cukup dihormati kerana komitmennya terhadap pasukan termasuk usaha berterusan dalam membanteras penjualan jersi tiruan.