Saingan Liga A1 musim ini cukup kompetitif berbanding musim lalu – Saifuddin Khairil Anuar
Penyerang utama pasukan Manjung City FC (MCFC), Saifduddin Khairil Anuar mengakui saingan Liga A1 pada musim ini cukup kompetitif berbanding musim lalu.
Menurut Saifuddin, untuk saingan musim ini banyak pasukan yang dibarisi oleh pemain yang pernah beraksi di Liga Super dan juga pemain import.
“Liga A1 pada tahun ini cukup kompetitif kerana pasukan lain juga mempunyai ramai pemain berkualiti dari Liga Super jadi bukan sebab kami tak dapat beri saingan cuma belum ada rezeki lagi tapi kami akan bangkit.
Biarpun ada yang dibarisi ramai pemain dari Liga Super tapi saya rasa kami masih lagi dapat beri saingan cuma mereka ada kelebihan dari segi pengalaman berbanding kami yang dibarisi ramai pemain muda,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Tambahnya lagi, pasukannya kini sedang bergelut dengan ramai pemain mengalami kecederaan yang agak serius sekaligus menyukarkan mereka untuk berada pada tahap terbaik dalam setiap perlawanan.
Selepas tujuh perlawanan liga, Manjung City kini berada di kedudukan kesembilan liga selepas dua kemenangan, dua seri dan tiga kekalahan.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata perlawanan menentang PT Athletic FC baru-baru ini telah memberi pengajaran yang berguna buat beliau dan rakan sepasukan supaya tidak terlalu menghormati lawan biarpun dibarisi oleh nama besar.
“Kita tidak boleh terlalu menghormati pasukan lawan kerana kalau terlampau menghormati jadi macam perlawanan menentang PT Athletic sebelum ini yang mana kami ketinggalan 3-0 di separuh masa pertama.
Pada separuh masa kedua baru kami dapat momentum dan hanya bolos satu gol sahaja tapi itulah tetap kalah.”
Sementara itu, Saifuddin turut meletak sasaran peribadi untuk meledak dengan lebih banyak lagi kerana ketika ini beliau baru sahaja mempunyai satu gol dalam akaun jaringannya.