Liga A1 adalah platform untuk pemain tempatan tunjukkan bakat mereka – Rafae Isa
Ketua jurulatih pasukan Manjung City FC (MCFC), Rafae Isa berkata saingan Liga A1 adalah platform terbaik untuk pemain-pemain tempatan terutamanya pemain muda untuk menunjukkan bakat mereka dalam bola sepak.
Rafae berkata demikian berikutan saingan Liga A1 musim ini turut menampilkan pemain import buat pertama kali.
“Pandangan peribadi saya, saya lebih suka kepada pemain-pemain tempatan kerana di sini kita boleh beri pendedahan kepada pemain-pemain tempatan dan Liga A1 ini adalah platform untuk pemain tempatan untuk tunjukkan bakat mereka.
Terima kasih kepada AFL (Amateur Football League) yang anjurkan Liga A1 ini yang mana kita dapat lihat pemain-pemain tempatan ini yang kini hampir setanding dengan pemain import,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Dalam pada itu, Rafae turut mengulas mengenai prestasi pasukan Manjung City yang disifatkan sebagai agak baik.
“Untuk musim ini kita boleh dikatakan pasukan yang sama seperti musim lepas dengan pemain yang sama dan ketika ini kami berada di kedudukan yang agak baik dalam liga.
Bagi mencapai kedudukan tinggi itu kita kena bersikap realistik dengan apa yang kita ada sekarang ini.”
Manjung City kini berada di kedudukan kesembilan Liga A1 selepas tujuh perlawanan hasil dua kemenangan, dua seri dan tiga kekalahan.
Sementara itu, Rafae juga meminta pemain-pemainnya menjadikan perlawanan menentang PT Athletic FC sebagai pengajaran terbaik untuk tidak terlalu menghormati pasukan lawan biarpun dibarisi oleh ramai pemain dari Liga Super.