Berjaya bawa pasukan ke kedudukan Top 3 di liga elit lonjak nama V. Saravanan di Finland

191

Lagenda bola sepak Perak dan pasukan kebangsaan Malaysia, V. Saravanan berkongsi kisah bagaimana beliau memulakan karier sebagai jurulatih pembangunan bola sepak di Finland.

Menurut Saravanan, beliau berhijrah ke Finland kerana mengikut isterinya yang terpaksa pulang kerana mahu menjaga ibunya yang tidak sihat ketika itu dengan dirinya tidak mempunyai perancangan apabila tiba di sana.


“Selepas enam bulan di sana di mana ketika itu saya masih belum mendapat permit kerja dan kebetulan abang ipar saya memperkenalkan sebuah kelab bola sepak Gnistan yang mana kelab ini ketika ini bermain di Super League buat pertama kali kerana ketika itu mereka bermain di Divisyen 2.

Saya sudah enam bulan tidak main bola ketika itu tapi mereka panggil saya untuk menjalani latihan pertama dan apabila di sana mereka suka. Kebetulan ketika itu mereka perlukan penyerang dan pada waktu itu mereka berada di zon penyingkiran dengan baki lima perlawanan.

Jadi saya pun bersetuju untuk tolong dan apabila saya mula bermain saya berjaya menjaringkan 13 gol dan bawa pasukan dari zon penyingkiran ke kedudukan kelima liga,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Jelas Saravanan lagi, beliau tidak menyedari bahawa pemain tengah pasukan itu merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab tersebut dan ketika mereka berbual mengenai perancangannya di Finland dan beliau menyuarakan hasrat untuk menjadi jurulatih.

“Ketika berbual pemain tengah pasukan saya tanya ‘Sara apa awak buat di sini?’, jadi saya cakap nak jadi jurulatih dan minta tolong sekiranya beliau ada dan beliau kemudian berkata ‘tak apa nanti awak datang ke pejabat esok’ dan bila saya sampai rupa-rupanya beliau adalah CEO kelab itu.”

Saravanan berkata beliau kemudian berjaya mendapat kerja sebagai jurulatih di kelab tersebut dan bermula dari liga sosial sehingga berjaya mengendalikan pasukan di liga elit dalam tempoh empat tahun.

Tambahnya lagi, namanya mula menjadi perhatian di negara itu apabila beliau berjaya bawa pasukan kendaliannya berada di kedudukan Top 3 di liga elit.

“Kita masuk liga elit terus kita berada di Top 3 jadi seluruh negara Finland nak tahu siapa jurulatih yang bawa pasukan ini dan dapat tahu saya dari Malaysia dan sejak dari itu nama saya mula dikenali di sana.”

Susulan kejayaannya itu, Saravanan telah mendapat tawaran daripada salah sebuah kelab terbesar di sana iaitu HJK Helsinki di mana beliau mengendalikan pasukan peringkat remaja di sana.

Sepanjang 10 tahun bersama HJK Helsinki beliau telah berjaya merangkul pelbagai kejayaan di sana.

Dalam pada itu, Saravanan yang mengambil keputusan untuk pulang ke tanah air bagi menabur bakti kepada Perak FC sejak musim lalu telah memberitahu bahawa beliau akan pulang ke Finland pada hujung tahun ini.

Ia susulan kontraknya bersama The Bos Gaurus tidak akan disambung dan beliau sudah pun menerima tawaran baru di Finland.