Kemenangan ini adalah hasil kerjasama sebagai satu unit – Safuwan Baharudin
Ketua pasukan Selangor FC, Safuwan Baharudin memberitahu kemenangan pasukannya bukan kerana dirinya sahaja tetapi ia adalah hasil usaha seluruh pemain yang bermain sebagai satu unit.
“Sejak minggu lepas banyak perkara negatif berlaku tapi Alhamdulillah kami dapat ubah kepada positif pada malam ini.
Saya rasa bukan hanya gol saya tapi saya rasa keseluruhan. ‘It was better game for us tonight’ baik dari segi ‘attacking’, ‘defending’ kami sangat baik sebagai satu unit.
Jika kita lihat kembali ketika perlawanan menentang Sri Pahang FC dan Penang FC kita sedikit bergelut untuk tempoh 90 minit. Bukan mudah bermain tiga perlawanan dalam tempoh lapan hari jadi kredit kepada semua pemain,”
katanya.
Pada perlawanan kedua separuh akhir Piala FA 2024 yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyaksikan Selangor berjaya mengesahkan tempat ke perlawanan akhir selepas menewaskan Terengganu FC 6-4 secara agregat.
Safuwan menjadi wira buat skuad Gergasi Merah apabila berjaya menjaringkan hatrik pertamanya bersama pasukan.
Dalam pada itu, Safuwan berkata selepas mengharungi minggu yang padat mereka akan berehat seketika dan kemudian akan fokus dari satu perlawanan ke satu perlawanan.
Perlawanan akhir Piala FA 2024 akan berlangsung pada 24 Ogos ini di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang akan menyaksikan Selangor akan menentang juara bertahan Johor Darul Ta’zim.
Sementara itu, Selangor akan melayan kunjungan Kelantan Darul Naim FC (KDN) pada 10 Ogos ini untuk aksi Liga Super.