Kramm akui cukup gembira bermain di Malaysia kerana peminatnya yang cukup mesra
Pemain pasukan e-sukan Mobile Legends Bang Bang (MLBB) Selangor Red Giants (SRG), Kramm mengakui berasa cukup gembira berada di Malaysia kerana peminat di sini sangat mengalu-alukan dan mesra.
Kemesraan peminat negara terhadap Kramm telah menyaksikan ramai peminat tempatan memberikan nama Melayu kepadanya iaitu Mohd Ikram.
“Terima kasih semua kerana memanggil saya Mohd Ikram dan mengalu-alukan kedatangan saya ke Malaysia. Terima kasih kerana menyokong terus menyokong dan kami akan bangkit semula,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Kramm berkata demikian selepas tamat perlawanan pusingan ‘lower bracket final’ Snapdragon Mobile Challenge Finals MLBB musim kelima yang menyaksikan SRG tewas 3-1 kepada Falcons AP. Bren dari Filipina.
Dalam pada itu, Kramm berkata selepas kejohanan Snapdragon beliau akan pulang ke kampung halamannya di Filipina untuk meluangkan masa bersama keluarga sebelum kembali ke Malaysia untuk memulakan latihan bagi membuat persiapan bagi menghadapi saingan Mobile Legends: Bang Bang Profesional League Malaysia (MPL MY) musim ke-14 yang akan bermula pada bulan September depan.
“Kami diberikan cuti selama 10 hari yang mana saya akan pulang ke Filipina untuk meluangkan masa bersama keluarga.”
Sementara itu, kekalahan SRG baru-baru ini menyaksikan rekod tanpa kalah mereka selama lebih 120 hari tamat.
SRG baru-baru ini juga telah mencipta sejarah apabila berjaya menjadi juara MSC Esports World Cup 2024 yang berlangsung di Riyadh, Arab Saudi.