Sekys akui kesilapan ‘drafting’ jadi faktor kekalahan mereka di Snapdragon

43

Pemain pasukan e-sukan Mobile Legends Bang Bang (MLBB) dari Malaysia Selangor Red Giants (SRG), Sekys memberitahu kesilapan mereka dalam membuat percaturan ‘drafting’ menjadi salah satu faktor mereka tewas pada perlawanan pusingan ‘lower bracket final’ Snapdragon Mobile Challenge Finals MLBB musim kelima.

“Sejujurnya saya rasa kita ada buat kesilapan besar dari segi ‘drafting’. Saya tak pasti kerana belum bincang panjang lagi dengan pasukan tapi untuk saya, saya rasa kami tiba-tiba berubah sikit cara kami bermain dekat sebelum-sebelum ini jadi saya rasa kita perlu perbaiki perkara itu nanti,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Pada aksi ‘lower bracket final’ tersebut SRG tewas 3-1 kepada Falcons AP. Bren dari Filipina sekaligus menyaksikan rekod tanpa kalah SRG lebih 120 hari tamat.


Dalam pada itu, biarpun Sekys berpuas hati dengan permainannya pada kejohanan Snapdragon tapi beliau masih merasakan tidak cukup dan boleh buat lebih baik lagi.

“Memang kita sasar nak jadi juara tapi nak buat macam mana tiada rezeki di mana kita kalah di ‘upper bracket’ dan ‘lower bracket’.”

Tambahnya lagi, kejayaan SRG di pentas antarabangsa membuat lebih banyak pasukan lawan mengkaji corak permainan mereka.

Sementara itu, Sekys berkata beliau akan menggunakan tempoh 10 hari cuti yang diberikan untuk berehat dan meluangkan masa bersama keluarga sebelum kembali turun berlatih bagi mempersiapkan pasukan bagi menghadapi saingan Mobile Legends: Bang Bang Profesional League Malaysia (MPL MY) musim ke-14 yang akan bermula pada bulan September depan.