Qaseh Rania letak sasaran main bersama skuad utama VFL Wolfsburg
Pemain bola sepak wanita muda sensasi negara, Qaseh Rania meletak sasaran untuk cuba menembusi pasukan utama VFL Wolfsburg selepas mendapat tawaran untuk menjalani sesi percubaan di sana selama enam minggu.
Menurut Qaseh, beliau tidak berasa gementar langsung sebaliknya cukup teruja dan tidak sabar untuk turun berlatih.
“Saya baru berusia 14 tahun jadi saya sasar untuk main dengan pasukan paling atas. Kalau boleh pasukan senior atau B-17 jadi saya akan buat yang terbaik di sana nanti.
Memang saya rasa cukup teruja dan tak sabar nak turun berlatih, kalau boleh nak sekarang,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Terdahulu Naib Presiden Vfl Wolfsburg iaitu Andreas Kruse memberitahu pihaknya melihat potensi besar yang ada pada Qaseh membuatkan mereka bersetuju untuk memberi peluang kepada pemain itu untuk menjalani sesi percubaan bersama kelab itu.
Dalam pada itu, Qaseh yang merupakan Pemain Muda Terbaik di FAS Women’s Super League (WSL) 2023 turut berkata beliau mahu buktikan kemampuan sebenarnya kepada pihak-pihak yang memandang enteng terhadap kemampuannya sebelum ini.
“Ya saya nak gunakan peluang ini untuk tunjukkan bakat saya dan nak nak tunjukkan kepada orang-orang macam itu (pengkritik) supaya mereka kenal siapa saya.”