Pestabola Merdeka 2024 akan guna khidmat pengadil dari luar negara
Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia), Mohd Firdaus Mohamed telah memberitahu bahawa kejohanan Pestabola Merdeka 2024 Edisi ke-43 kali ini akan menggunakan khidmat pengadil dari luar negara.
“Kita menggunakan pengadil dari luar kerana kita tidak mahu dilihat seperti menganjurkan pertandingan lebih kepada syok sendiri, jadi kita panggil pengadil-pengadil dari luar untuk menunjukkan ketelusan kita dalam menganjurkan pertandingan.
Ini kerana pertandingan ini dimainkan ketika dalam kalendar FIFA jadi kita tidak boleh ambil mudah dalam hal ini,”
katanya.
Firdaus pada masa sama turut menjelaskan bahawa pihak mereka kini masih dalam perbincangan samada kejohanan Pestabola Merdeka kali ini akan menggunakan teknologi VAR (video assistant referee) atau tidak.
“Untuk VAR ini masih dalam perbincangan lagi jadi mungkin dalam seminggu dua ini kami akan buat keputusan dan ia akan dimaklumkan oleh Setiausaha Agung FAM.”
Dalam pada itu, Firdaus turut memaklumkan bahawa venue kejohanan iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) berada dalam keadaan terbaik dan bersedia untuk kejohanan itu nanti.
“Keadaan padang SNBJ lulus untuk digunakan pada pertandingan Pestabola Merdeka.”
Sementara itu, sebanyak empat pasukan termasuk Malaysia iaitu Lubnan, Filipina dan Tajikistan akan bersaing pada edisi kali ini yang akan berlangsung dari 4 hingga 8 September ini.
Perlawanan pertama separuh akhir akan menyaksikan Lubnan bertemu juara bertahan Tajikistan pada pukul 4.30pm, manakala Malaysia pula akan turun beraksi pada pukul 9.00pm menentang Filipina.