Saya yakin dengan kemampuan Pau Marti kendalikan Harimau Malaya – Noor Azman

43

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman memberitahu pihaknya yakin dengan kemampuan pemangku ketua jurulatih Pau Marti untuk mengendalikan pasukan kebangsaan Harimau Malaya selepas Kim Pan-gon meletak jawatan sebagai ketua jurulatih baru-baru ini.

Menurut Noor Azman, Pau Marti sudah lebih dua tahun bersama skuad negara jadi tiada masalah untuk beliau mengambil alih tugas sebagai pengendali selepas pemergian Pan-gon.


“Pada pandangan kami nampak okay dengan Pau Marti mengendalikan pasukan kerana barisan kejurulatihan yang lain juga adalah yang sama cuma ketua jurulatih sahaja yang keluar jadi saya rasa tiada masalah.

Memang kita sangat yakin kerana beliau sudah bersama dengan kita dua tahun setengah jadi kita yakin beliau mampu nak bawa pasukan ini,”

katanya.

Ujian pertama Pau Marti akan bermula pada awal September depan untuk kejohanan Pestabola Merdeka 2024 yang akan berlangsung dari 4 hingga 8 September.

Dalam pada itu, Noor Azman turut memberitahu bahawa skuad negara akan mengharungi beberapa perlawanan persahabatan antarabangsa yang akan dimaklumkan dalam masa terdekat ini.

“Bulan Oktober insyaAllah ada dua perlawanan, kemudian bulan November dan juga pada bulan Disember.”

Noor Azman pada masa sama turut mengulas mengenai khabar angin yang mengatakan kejohanan Piala AFF 2024 akan ditunda ke satu tarikh yang baru.

“Betul saya dapat tahu mengenai perkara ini tapi saya belum dapat pengesahan secara rasmi lagi. Memang ada cadangan pindaan tapi saya tak dapat secara rasmi jadi saya kena tunggu pindaan dahulu baru saya boleh beri komen.”