Mungkin kita tak dapat ‘deliver’ emas tapi kita puas juga dapat gangsa untuk Malaysia – Aaron-Wooi Yik
Pasangan beregu badminton lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik memberitahu biarpun mereka tidak dapat menghadiahkan pingat emas pertama negara di temasya Sukan Olimpik Paris 2024 tetapi mereka tetap berpuas hati apabila dapat beri pingat gangsa kepada negara.
Wooi Yik pada masa sama turut berkata suasana Olimpik di Paris cukup berbeza dengan Olimpik Tokyo namun beliau dan Aaron gembira apabila dapat mengatasi banyak situasi.
“Memang berbeza sebab masa di Tokyo tak ada penyokong tapi di Paris bila masuk stadium boleh rasa gementar dan tekanan jadi ia situasi yang berbeza jadi saya dan Aaron rasa gembira dapat mengatasi banyak situasi di sana.
Mungkin kita tak dapat ‘deliver’ pingat emas tapi kita puas juga dapat gangsa untuk Malaysia,”
katanya.
Dalam pada itu, Aaron juga mengucapkan penghargaan beliau kepada peminat negara yang sanggup ke Paris untuk memberi sokongan kepada mereka.
“Memang kita kena berterima kasih kepada peminat Malaysia yang datang ke Paris. Selain peminat kami juga perlu berterima kasih kepada BAM (Persatuan Badminton Malaysia), RTG (Road to Gold), jurulatih, rakan sepasukan dan semua yang sentiasa menyokong kita walaupun dalam apa jua keadaan.”
Terdahulu, beregu Aaron-Wooi Yik berjaya mempertahankan pingat gangsa yang dimenangi di Tokyo selepas menewaskan beregu nombor dua dunia dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 16-21,22-20,21-19 dalam tempoh 74 minit.