Berhijrah atau makan gaji tinggi di tempat sendiri?
Baru-baru ini pihak Australian Professional Leagues (APL) mengusulkan supaya kelab-kelab yang beraksi di Australian League (A-League) untuk memberi peluang kepada pemain-pemain terbaik dari Asia terutamanya Asia Tenggara untuk mengisi slot pemain import.
Mengikut peraturan yang sedia ada, setiap pasukan boleh mendaftarkan sehingga lima orang pemain untuk mengisi slot pemain import yang sedia ada dan cadangan pihak APL yang ingin menawarkan kuota khas Asia seolah-olah membuka jalan baharu kepada pemain-pemain dari benua Asia untuk melebarkan sayap berkelana di bumi Kanggaru.
Jika diamati, bukan sahaja A-League yang menawarkan slot sedemikian kepada pemain import dari Asia. Liga-liga utama di Asia seperti J-League, K-League dan Thai-League juga ada menawarkan slot-slot khas untuk pemain-pemain ini.
Sekadar mengambil contoh, tonggak lincah skuad kebangsaan Thailand, Chanatip Songkrasin kini berkelana di bumi Jepun bersama Kawasaki Frontale. Theeraton Bunmathan juga pernah menyarung jersi Kawasaki F. Marinos selama dua musim. Kedua-dua tonggak ini mempamerkan aksi yang cukup memukau ketika beraksi bersama pasukan kebangsaan Thailand yang menjuarai Piala AFF baru-baru ini.
Barisan pemain-pemain muda Indonesia juga ada di antara mereka berkelana di luar negara seperti Asnawi Mangkualam, Egy Maulana dan Witan Sulaeman. Pemain-pemain ini juga menjadi tonggak utama skuad kendalian Shin Tae-yong yang mempamerkan aksi yang cukup mengagumkan sepanjang kejohanan berlangsung.
Namun, persoalan utama yang kerap berlegar di minda peminat bola sepak negara adalah di mana pemain-pemain Malaysia? Peluangnya sudah terbuka luas di depan mata tetapi entah di mana silapnya tidak ramai pemain-pemain kita yang berani untuk melebarkan sayap ke luar.
Ketika ini, hanya terdapat beberapa pemain skuad senior seperti Junior Eldstal, Luqman Hakim dan pemain naturalisasi negara Liridon Krasniqi yang bermain di luar negara. Bukan tidak ada pemain-pemain tempatan berkelana ke luar negara, tetapi hanya untuk tempoh yang singkat.
Dahulu kita pernah disensasikan dengan Nazmi Faiz Mansor yang diikat oleh kelab Portugal, Beira Mar SC selepas aksi memukau yang dipamerkan ketika mewakili skuad remaja kebangsaan. Shahrel Fikri, Norshahrul Idlan Talaha, Dominic Tan juga pernah beraksi di Thai-League yang membuktikan bahawa pemain-pemain negara sentiasa mendapat perhatian dari kelab-kelab luar.
Safawi Rasid juga berjaya menambat perhatian kelab liga Portugal, Portimonense SC untuk beraksi secara pinjaman dari kelab Johor Darul Takzim (JDT) biarpun hanya empat kali berada di bangku simpanan tanpa merekodkan sebarang minit perlawanan.
Namun, penghijrahan pemain-pemain ini hanyalah secebis cerita singkat dalam karier mereka. Paling tidakpun bertahan untuk satu atau dua musim sahaja. Adakah mungkin lebih selesa makan gaji tinggi daripada berhijrah ke tempat baru?
Pemain-pemain tempatan sebenarnya mampu untuk bersaing dengan pemain-pemain luar negara yang lain. Malah ada di antara mereka yang berjaya menarik minat kelab-kelab luar negara. Tetapi mungkin beberapa faktor terutamanya gaji yang jauh lebih kecil menjadi penghalang?
Kenyataan yang agak keras, namun itulah realiti yang perlu ditelan oleh peminat-peminat bola sepak Malaysia.