Harap pemain tak kecewa dengan aksi mereka di Olimpik dan terus bersemangat – Rexy Mainaky
Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky memuji prestasi kesemua pemain badminton negara sepanjang temasya Sukan Olimpik Paris 2024 berlangsung baru-baru ini selepas berjaya membawa pulang dua pingat gangsa.
“Kita nampak di Olimpik kali ini semangat pemain-pemain cukup konsisten dari peringkat kumpulan, suku akhir, separuh akhir dan penentuan pingat gangsa seperti Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang pada mulanya kita nampak hampir kalah tapi berjaya bangkit semula dan itu adalah satu peningkatan yang cukup besar.
Begitu juga dengan Pearly Tan-M Thinaah yang kita lihat dalam tempoh setahun setengah ini prestasi mereka tak konsisten tapi beraksi cemerlang sehingga ke separuh akhir mereka kalah dengan beregu No.1 dunia jadi ia sesuatu yang cukup positif.
Jadi saya harap pemain-pemain tidak kecewa dengan apa yang sudah kita buat di Olimpik ini dan mereka harus lebih bersemangat selepas ini,”
katanya.
Kontinjen badminton negara berjaya membawa pulang dua pingat gangsa menerusi beregu lelaki dan perseorangan lelaki menerusi Lee Zii Jia, sekaligus harapan negara untuk mendapatkan pingat emas pertama dalam sukan badminton masih tidak kesampaian.
Dalam pada itu, Rexy berkata selepas pulang ke tanah air beliau mahu berehat seketika waktu sebelum kembali memulakan tugasnya.
Rexy bersama pasukan badminton negara tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi tadi disambut meriah oleh keluarga dan peminat.