Persiapan Olimpik LA 2028 perlu bermula dari sekarang – Rexy Mainaky

55

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky memberitahu bahawa biarpun perjuangan pasukan badminton negara di Sukan Olimpik Paris 2024 baru sahaja tamat tetapi mereka perlu segera buat persiapan untuk temasya Olimpik Los Angeles 2028 akan datang.

“Saya rasa memang kita harus mula buat persiapan (ke LA 2028) dari sekarang dan saya juga sudah bincang dengan Menteri KBS, YB Hannah Yeoh, Tan Sri Norza dan Michelle Chai (BAM) bahawa kita balik kita harus bincang apa yang kita patut buat dari sekarang.

Jadi kita jangan tunggu lagi setahun nak Olimpik baru kita nak buat persiapan,”

katanya.

Menurut Rexy, sekiranya persiapan dapat dibuat dari awal banyak perkara yang mereka boleh pelajari dan meningkatkan prestasi pemain negara.


Untuk temasya edisi kali ini pasukan badminton negara berjaya membawa pulang dua pingat gangsa menerusi pasangan beregu negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan perseorangan negara Lee Zii Jia.

Dalam pada itu, Rexy juga memberitahu beliau berpuas hati dengan persembahan kesemua pemain negara biarpun sasaran untuk mendapatkan pingat emas pertama negara tidak tercapai.

“Untuk persembahan (pemain) saya gembira tapi untuk sasaran itu saya tidak boleh cakap kecewa tapi apa yang saya boleh cakap sebagai jurulatih adalah minta maaf kerana tidak dapat capai sasaran.”

Sementara itu, Rexy berkata tiada perbezaan ketara antara pemain negara dan pemain negara lain sebaliknya berkata keputusan ketika berada dalam gelanggang perlu lebih baik lagi.