Biarpun persiapan singkat tapi saya sudah buat yang terbaik – Azeem Fahmi
Jaguh pecut negara, Azeem Fahmi memberitahu bahawa beliau sudah pun buat yang terbaik pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024 baru-baru ini biarpun gagal untuk mendapatkan catatan masa terbaik di sana.
“Kita sendiri pun tahu yang KOM (Kesatuan Olimpik Malaysia) dalam dilemma untuk memilih samada saya atau pun Shereen jadi itu terpulang kepada mereka sebab saya sendiri sudah ada perancangan tersendiri seperti yang saya cakap sebelum ini jika tidak dapat ke Olimpik, saya akan fokus kepada SUKMA.
Tapi apabila keputusan itu diberi sudah tentu kita buat yang terbaik untuk buat persiapan ke Olimpik kerana ia peringkat tertinggi jadi banyak perkara yang saya perlu lakukan untuk tempoh yang singkat.
Walaupun singkat saya tetap cuba dan berikan yang terbaik,”
katanya.
Tambah Azeem lagi, beliau turut berterima kasih kepada KOM kerana memberinya peluang untuk bersaing di Olimpik menggunakan slot ‘wild card’.
Terdahulu ketika acara pecut 100 meter (m) di Paris, Azeem gagal mara ke saringan kedua dan gagal memperbaiki catatan masa terbaiknya.
Dalam pada itu, Azeem berkata biarpun perjuangannya di Olimpik sudah berakhir tapi beliau sudah pun mula memikirkan sasaran untuk tahun 2025 yang mana beliau mempunyai tiga kejohanan besar.
“Jadi untuk 2025 kita akan ada Asia Track & Field Championship, Sukan SEA dan Kejuaraan Dunia jadi ada tiga kejohanan terbesar untuk tahun 2025 bagi saya jadi sebaik sahaja saya habis di Olimpik saya sudah pun mula memikirkan apa yang saya akan buat pada 2025.”
Tambahnya lagi, sasaran utamanya pada tahun hadapan untuk menjadi salah seorang pelari pecut paling pantas di Asia.