TRW Kelantan FC dilanda masalah kewangan?

174

Pengunduran pasukan TRW Kelantan FC daripada Piala Belia 2022 menimbulkan banyak tanda tanya apakah pasukan dari pantai timur itu sedang dilanda satu lagi episod masalah kewangan.

Walaubagaimanapun, pihak TRW Kelantan FC menafikan bahawa isu penarikan diri pasukan daripada Piala Belia 2022 berpunca daripada masalah kewangan. Namun tidak dapat dipastikan sebab utama penarikan diri tersebut memandangkan pasukan-pasukan utama TRW Kelantan FC masih lagi bersaing dalam pertandingan-pertandingan seperti Liga Premier, Piala Presiden dan Liga Futsal Premier Malaysia (MPFL) pada musim ini.


Agak ironi apabila membandingkan tindakan penarikan diri skuad TRW Kelantan FC ini dengan kenyataan pemilik kelab tersebut, Norizam bin Tukiman atau Zamsaham yang berhasrat untuk membantu FAM membeli sistem Video Assistant Referee (VAR) untuk digunapakai dalam kancah liga di Malaysia.

Jika pemilik kelab berdepan dengan masalah kewangan, bagaimana beliau mahu untuk membantu FAM mendapatkan sistem VAR yang sememangnya mempunyai kos yang amat tinggi sedangkan kebajikan pasukannya sendiri tidak terjaga?

Merujuk kepada hantaran di laman Facebooknya, beliau menegaskan bahawa tiada isu tunggakan gaji yang berlaku memandangkan hal tersebut telahpun selesai.

Namun, yang menjadi tumpuan utama adalah mengenai kegagalan pihak FAM untuk melunaskan bayaran tuntutan kos pengadil berjumlah sebanyak RM 79,286.68 kepada pihak TRW Kelantan FC bagi dua kejohanan iaitu Liga Premier dan juga Piala Malaysia.

Menurutnya lagi, pihak TRW Kelantan FC telah mendahulukan bayaran tersebut kepada pihak MFL dan menunggu FAM untuk membayar kembali tuntutan kos tersebut melalui notis yang telah diserahkan kepada FAM yang bertarikh 26 Januari 2022. Namun, sehingga sekarang pihak FAM masih lagi belum menjelaskan jumlah tuntutan tersebut.

Adakah tindakan penarikan diri skuad TRW Kelantan FC ini merupakan satu protes senyap kepada pihak FAM? Atau ada isu baru di sebalik kemelut yang berlaku?